December 02, 2009

Penguatkuasaan Larangan Pengilangan dan Penjualan Paket Rokok yang Mengandungi Kurang daripada 20 Batang Rokok


Sukacita dimaklumkan, Kerajaan telah memutuskan penjualan paket rokok yang mengandungi bilangan rokok kurang dari dua puluh (20) batang rokok adalah tidak dibenarkan mulai 1 Jun 2010.

Keputusan Kerajaan untuk melarang penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok ini telah pun dipersetujui oleh semua syarikat rokok. Kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat-syarikat rokok di atas usaha Kerajaan mengenai perkara ini.

Sejajar dengan keputusan Kerajaan ini, pihak syarikat rokok diberi masa selama 7 bulan dari sekarang sehingga 31 Mei 2010 untuk menghabiskan stok paket rokok kurang dari 20 batang rokok di pasaran. Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010.

Larangan pengilangan dan penjualan paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang rokok sebenarnya telah pun diwartakan pada 23 September 2004 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004. Walau bagaimana pun, penguatkuasaaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas Kerajaan mempertimbangkan rayuan dari syarikat-syarikat rokok. Kerajaan
berpendapat penangguhan selama 6 tahun semenjak itu adalah lebih dari mencukupi.

Langkah larangan penjualan paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang rokok ini adalah selaras dengan peruntukan WHO Framework Convention On Tobacco Control (FCTC), di mana Malaysia telah menjadi parti kepadanya sejak 2005. FCTC telah menyarankan agar penjualan rokok dalam kotak bersaiz kecil yang membolehkan orang belum dewasa mampu membeli rokok dan memulakan tabiat merokok dilarang.

Tabiat merokok merupakan satu tabiat yang merugikan dari segi kewangan dan kesihatan. Asap rokok telah terbukti mengandungi lebih dari 4000 jenis bahan kimia yang merosakkan kesihatan serta boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit kanser. Sebagai langkah pelengkap kepada usaha-usaha yang sedang dan telah dijalankan oleh Kerajaan bagi memenuhi hasrat murni Kerajaan melindungi rakyat Malaysia daripada bahaya merokok, larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bagi tujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan.

Sehubungan dengan penguatkuasaan sepenuhnya larangan penjualan dan pengilangan paket rokok kurang dari 20 batang rokok menjelang 1 Jun 2010, sesiapa yang didapati melanggar Peraturan 9 dan Peraturan 16, PPKHT 2004, apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Kementerian Kesihatan Malaysia
1 Disember 2009


( Source from http://www.moh.gov.my/MohPortal/newsFull.jsp?action=load&id=577 )
Click on the URL to obtain the PDF format of the news article.

0 Responses: