November 20, 2008

Laporan Hari Interaksi Pelajar

Hari Interaksi Pelajar PSP
31 oktober – 1 november 2008
' integrasi minda menjana generasi berkualiti '



Pada 31 Oktober dan 1 November yg lalu, Persatuan Sains Perubatan telah mengadakan satu sesi interaksi pensyarah bersama pelajar, iaitu Hari Interaksi Pelajar. Program ini diadakan bertujuan untuk membantu pelajar menangani gejala stress yang semakin menular. Selain itu, para pelajar juga didedahkan dengan kehidupan seorang doktor sebagai persediaan sebelum menjadi seorang pengamal perubatan, dan juga berkongsi pengalaman pahit dan manis dalam menempuh arus cabaran yang sentiasa menduga.

Program Hari Interaksi Pelajar ini, merupakan satu usaha sama PSP bersama PADU dan PPIP. Hasil kerjasama tiga persatuan ini, alhamdulillah program ini dapat berjalan seperti mana yang telah dirancang. Ketiga-tiga persatuan ini mengambil inisiatif untuk mengadakan satu sesi interaksi dan integrasi minda di mana para pelajar diberikan peluang untuk bertukar buah fikiran bersama para pensyarah dan pelajar-pelajar senior serta berkongsi pengalaman sekaligus memberi jalan penyelesaian kepada kebuntuan yang menghuni minda pelajar.

Program ini dilihat sebagai medium untuk para pelajar meluahkan permasalahan dan kesukaran yang dihadapi dalam segala aspek kehidupan. Ia juga bertujuan untuk memupuk semangat kental dalam diri pelajar melalui perbincangan terbuka seterusnya menjadikan kita seorang yang lebih baik dengan mengenal kelemahan dan kekuatan diri.
- this is our pengarah projek -

Pada hari Jumaat, bersamaan dengan 31 Oktober 2008, bertempat di Dewan Nurani, program ini berjalan dari pukul 9 pagi hingga 1 tengahari. Program ini dihadiri oleh lebih kurang 70 orang pelajar. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Naib Yang Dipertua PSP, Mohd Solehin Bakri seterusnya ucapan daripada Pengarah Projek Hari Interaksi Pelajar dan disusuli dengan persembahan multimedia yang kreatif. Kemudian acara seterusnya diambil alih oleh dua orang pensyarah yang tidak asing lagi, Dr Ahmad Fuad Abdul Rahim dan Dr Muhammad Shaiful Bahari Yusof. Kedua-dua pensyarah yang sememangnya terkenal dengan kelincahan dan kepetahan berbicara ini, menimbulkan suasana yang ceria dan mampu menarik minat peserta untuk memberi perhatian. Para peserta tampak terhibur dan berpuas hati dengan sesi yang telah dikendalikan oleh kedua-dua pensyarah ini yang sentiasa komited dengan tugasan yang telah diberikan.
- these are our beloved doctors, Dr Shaiful (right) n Dr Fuad (left) -

Sesi bersama Dr Ahmad Fuad dan Dr Shaiful bertajuk ‘Medical Student Stress’, ‘Identify Stress Level’ dan ‘Handling Stress’ dilihat memberi impak yang besar kepada para pelajar yang hadir. Para pelajar didedahkan dengan tekanan yang dihadapi oleh segelintir besar pelajar dan pengamal perubatan kini. Pendedahan yang dibuat oleh Dr Ahmad Fuad tentang komplikasi tekanan dalam kehidupan agak mengejutkan peserta yang hadir hari itu, namun itulah hakikatnya yang harus diterima. Melihatkan implikasi yang begitu besar membuatkan semua yang hadir terkesima dan berfikir akan tindakan yang bakal dilakukan sekiranya berada di dalam situasi yang sama. Pendedahan itu menimbulkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga, kerana diberi peluang untuk mengenal dan menangani tekanan dalam diri masing-masing sebelum gejala itu sampai ke tahap yang tidak dapat lagi dibendung.

- sesi bersama Dr Fuad & Dr Shaiful -
Hakikatnya, banyak lagi kelemahan dan kekurangan diri ini yang masih perlu diperbaiki dalam menjadi insan kamil yang mampu untuk menyumbang kepada kemaslahatan negara umumnya dan kebajikan masyarakat khususnya. Sesi seterusnya dikendalikan oleh Dr Norzila Zakaria, pensyarah di Jabatan Psikiatri. Pendekatan yang digunakan oleh Dr Norzila juga dilihat begitu berkesan dalam menyelami hati-hati mereka yang sentiasa diselubungi permasalahan yang telah sekian lama terbuku. Para pelajar juga memberikan respon yang memberangsangkan, baik bersama Dr Ahmad Fuad, Dr Shaiful mahupun Dr Norzila. Program hari itu ditamatkan dengan senaman ringan yang dapat membantu mengurangkan tekanan otot selepas seharian berhempas pulas dengan tekanan di tempat kerja. Senaman ringan yang dinamakan ‘Progressive Muscle Relaxation’ itu dikendalikan oleh Dr Norzila sendiri. Sememangnya Pakar Psikiatri ini memang pintar dalam mengenal pasti pergolakan jiwa yang dialami pelajar dan cara untuk mengurangkan tekanan tersebut. Terus terang berbicara, senaman ringan itu walaupun ringkas namun memberi impak yang maksima kepada mereka yang dihimpit tekanan hidup.
- sesi bersama Dr Norzila -
- sesi soal jawab bersama Dr Norzila -
Program bersambung pada keesokan harinya, 1 November 2008 bersamaan dengan hari Sabtu, bertempat di Dewan Utama. Acara pada pagi itu, dengan dihadiri oleh lebih kurang 40 orang pelajar, dimulakan pada pukul 9 dengan ceramah bertajuk ‘Kepentingan Vaksinasi Dalam Kalangan Pelajar’ daripada Dr Siti Asma Hassan, pensyarah di Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi. Vaksinasi ini penting untuk dihebahkan kepada pelajar supaya pelajar maklum akan faedah dan kepentingan mengambil vaksinasi ini dalam melindungi pelajar daripada jangkitan-jangkitan penyakit di hospital. Ceramah tamat pada pukul 1015 pagi dan para peserta dihidangkan dengan minum pagi. Pada pukul 1030 pagi, seramai 13 orang pensyarah yang secara sukarela turun padang untuk menyertai program ini tiba di dewan utama. Pensyarah-pensyarah yang cukup komited ini sanggup mengorbankan hujung minggu mereka demi untuk membantu para pelajar menangani masalah pembelajaran yang dihadapi. Sesungguhnya, kami sungguh terharu dengan pengorbanan pensyarah-pensyarah yang hadir.
- antara pensyarah yang menghadirkan diri, jutaan terima kasih kami ucapkan -

Acara seterusnya diteruskan dengan perbincangan dalam kumpulan bersama pensyarah masing-masing. Sebanyak 9 kumpulan dibentuk dengan diselia oleh seorang atau dua orang pensyarah. Antara yang dibincangkan dalam kumpulan adalah pengalaman para pensyarah sepanjang menjadi seorang doktor, cabaran dalam menghadapi peperiksaan, kriteria seorang pengamal perubatan dan cara menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dalam bidang perubatan selain menggalakkan interaksi antara pelajar dan pensyarah. Para pelajar bukan sahaja berpeluang untuk berkenalan dengan pensyarah dengan lebih dekat, malah dapat menimba ilmu dan nasihat-nasihat yang berguna sebagai garis panduan di dalam meneruskan perjuangan hidup. Dalam masa yang singkat, ‘rapport’ dapat dibina dengan baik dan perbincangan menjadi hangat dengan topik-topik dan isu yang diutarakan oleh pelajar. Banyak tips dan pengalaman menarik yang diceritakan oleh para pensyarah pada hari tersebut, sehinggakan pelajar terlalu asyik mendengar tanpa menyedari masa yang berlalu pergi. Program ditamatkan dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para pensyarah, makan tengahari dan sesi bergambar.
- perbincangan hangat antara student dan pensyarah -


Secara kesimpulannya, program yang pertama kali diadakan oleh PSP ini secara keseluruhannya dapat mencapai objektif seperti yang telah diharapkan. Secara tidak langsung, pendirian dan matlamat pelajar yang hadir sedikit sebanyak menjadi lebih jelas selepas menghadiri program ini. Program ini juga dilihat memberi kesan yang positif dalam diri pelajar ke arah membentuk pelajar yang mempunyai minda kelas pertama walaupun masa pelaksanaannya agak singkat. Diharapkan program ini dapat diteruskan kelangsungannya pada masa-masa akan datang dalam membentuk pengamal perubatan yang cekap dan berkualiti di masa hadapan.

- sesi memberi sedikit penghargaan kepada pensyarah2 yg sgt berjasa -


laporan disediakan oleh pengarah projek Nur Zahidah a.k.a exco kebajikan


0 Responses: