October 15, 2008

Hari Interaksi Pelajar



Saban hari, kehidupan manusia di muka bumi ini berevolusi dari tamadun silam ke era globalisasi yang semakin pesat berkembang. Kemajuan membawa manusia kepada persaingan yang semakin sengit dalam usaha memastikan mereka mampu hidup selesa sekaligus menghindarkan diri dari kehidupan yang terumbang ambing dalam arus kemodenan dunia.

Namun begitu, semakin persaingan itu wujud, semakin banyak pihak yang merasa bahang kemuncaknya. Remaja juga tidak terlepas dari dihujani tekanan pembelajaran yang semakin meruncing. Persaingan dalam bidang ilmu ini memerlukan mereka untuk sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan. Menuntut ilmu merupakan suatu perkara yang amat dituntut di sisi Islam, namun tuntutan itu memerlukan keazaman dan kecekalan hati yang tinggi berbekalkan tawakkal dan iringan doa. Sekiranya seseorang individu bolos dari aspek kekuatan dalaman, hal ini akan mengundang permasalahan yang besar kepada para pelajar.

Tekanan, suatu gejala yang kini amat sinonim dalam kalangan pelajar, merupakan gejala yang mengganggu gugat kestabilan dan kesihatan manusia, seterusnya menjejaskan kesejahteraan hidup dari segala aspek. Tekanan wujud apabila seseorang individu terlalu dibebani dengan sesuatu tugasan, dan tidak mampu menyelesaikan tugasan yang diberikan dalam masa yang ditetapkan. Selain itu, pelajar juga sering merasa tertekan apabila tidak mampu menguasai sesuatu kemahiran atau menghadapi kesukaran dalam memahami sesuatu topik. Hal ini sedemikian kerana pelajar cenderung untuk terlalu memikirkan sesuatu masalah sehingga terbawa-bawa dengan masalah tersebut dan akhirnya menyebabkan timbulnya tekanan perasaan.

Dalam menangani tekanan emosi, seorang pelajar perlu melihat sesuatu masalah yang dihadapi secara positif. Pendekatan secara menyeluruh perlu diteliti bagi mencari punca atau akibat tekanan emosi ini dan langkah bijak perlu diambil dalam usaha menangani gejala ini. Ketabahan emosi dari aspek psikologi adalah amat perlu bagi seorang individu dalam mengatasi masalah ini.

Oleh itu, Persatuan Sains Perubatan, sebagai persatuan yang bertanggungjawab akan kebajikan setiap ahli mengambil inisiatif untuk mengadakan satu sesi interaksi dan integrasi minda. Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar akan cabaran dalam menempuh kehidupan seorang doktor dan berkongsi pengalaman bersama pensyarah. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membantu pelajar mengenali dan menangani stess serta menyediakan ruang untuk pelajar meluahkan masalah yang dihadapi. Program ini juga diadakan untuk memupuk semangat kental dalam diri pelajar selain mengadakan perbincangan terbuka antara pelajar dan pensyarah. Para pelajar diberikan peluang untuk bertukar buah fikiran bersama para pensyarah dan pelajar-pelajar senior serta berkongsi pengalaman sekaligus memberi jalan penyelesaian kepada kebuntuan yang menghuni minda pelajar.


Semua pelajar perubatan dari Tahun 1 hingga Tahun 5 dijemput untuk untuk menghadiri kempen hidup sihat tanpa stress ini. Relax kan diri dan minda dari kesibukan akademik seketika dan ambil peluang ini dengan mengisi hujung minggu anda dengan aktiviti santai yang dapat membantu anda menjadi seorang yang lebih baik.


Agenda : HARI INTERAKSI PELAJAR

Tarikh : 31 Oktober – 1 November 2008

Masa : 9.00am – 11.00am

Tempat : Dewan Nurani, USM Kampus Kesihatan

Tema : INTEGRASI MINDA MENJANA GENERASI BERKUALITI


0 Responses: